
membunuh seorang lelaki yang mayatnya masih tidak dijumpai, hari ini. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, membebaskan tiga sahabat atas kesalahan
membunuh seorang lelaki yang mayatnya sehingga kini tidak dijumpai, tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang
bersama-sama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Abu Bakar
Jais sebulat suara membenarkan rayuan ketiga-tiga perayu, Mohd Zulhiami Md Darus, 37; Siti Nor
Asiah Abdul Wahab, 32; dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 29, untuk mengetepikan keputusan
Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini mensabitkan mereka
dengan hukuman mati atas pertuduhan itu.
"Perayu menimbulkan beberapa isu dan kami mendapati isu utama adalah sama ada perayu
dinafikan hak perbicaraan adil.
"Selepas mendengar hujah perayu dan pendakwa raya, serta meneliti alasan kehakiman dan rekod
rayuan, kami berpuas hati keseluruhan perbicaraan berlangsung dengan tidak menepati undangundang.
"Hal ini memprejudiskan perayu mengakibatkan sabitan tidak selamat, jadi kami membenarkan
ketiga-tiga perayu dilepas dan dibebaskan," katanya dalam penghakiman ringkasnya.
Sebaik mendengar keputusan itu, Mohd Zulhiami dan Muhammad Rahmat dilihat berpelukan di
kandang tertuduh, manakala Siti Nor Asiah yang terkejut turut mengalirkan air mata.
Ketiga-tiga mereka sudah dipenjara selama tujuh tahun sejak 2016.
Tiga sahabat itu merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 April 2022 yang mengesahkan
sabitan dan hukuman gantung diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Oktober 2019.
Pada asalnya, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat
membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, 21, antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 1 pagi pada
29 Ogos 2016 di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa Klang.
Muhammad Rahmat turut didakwa membunuh Mohammad Fairul pada jam 4 pagi, di lokasi dan hari
sama.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abdul Halim Aman meminda
pertuduhan pada akhir kes pendakwaan iaitu masa dan tarikh kejadian pada jam 4 pagi, 30 Ogos
2016, manakala tempat kejadian masih sama.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh.
Mangsa dalam kejadian bunuh itu adalah teman lelaki baharu kepada Siti Nor Asiah, manakala saksi
pendakwaan ketujuh (SP7), Zairul Noraidi Shahidin adalah bekas teman lelaki wanita itu.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Siti Nor Asiah, Kitson Foong mewakili Mohd Zulhiami
dan Fahri Azzat mewakili Muhammad Rahmat, manakala Timbalan Pendakwa Raya Parvin
Hameedah Mohd Khaja dan Aida Khairuleen Azli mewakili pihak responden.
Terdahulu, pasukan pembelaan menghujahkan hakim bicara (Mahkamah Tinggi) meminda butiran
pertuduhan tanpa memaklumkan kepada peguam mahupun ketiga-tiga tertuduh menyebabkan tiga
sahabat itu membela diri terhadap pertuduhan asal.
Kitson berkata, pindaan itu hanya disedari pihak pembelaan selepas meneliti rekod rayuan pada
peringkat Mahkamah Rayuan.
"Hakim bicara sepatutnya memaklumkan bahawa butiran pertuduhan diubah dan anak guam
membela diri terhadap pertuduhan pindaan, namun perkara itu tidak dilakukan.
"Kegagalan hakim bicara memaklumkan pindaan itu menafikan hak anak guam kami mendapat
perbicaraan adil atau mengemukakan pembelaan alibi ketika membela diri," katanya.