Shanmathi Sashidharan

KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki dan seorang wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini, atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis Methamphethamine dan 6 lagi pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine, Heroin dan juga Monoacetylmorphines pada Mac 2021.
Hakim, YA Noorin Binti Badaruddin membuat keputusan tersebut selepas pihak Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed Adrin Putra Bin Abdullah, 53 dan Nurisah Binti Sentol, 32, di akhir kes Pendakwaan.
Mereka didakwa 1 pertuduhan dengan niat bersama mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 71.6g dan 6 lagi pertuduhan dengan niat bersama memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 36.24g, Heroin seberat 11.37g dan Monoacetylmorphines seberat 1.85g. Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di unit MK 3-27-11 dan di parkir kotak bernombor 51, Level CP 1 Arte Mont Kiara, dalam daerah Sentul, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 15 Mac 2021.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Kesesaksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) ADB 1952. Selain itu, dua pertuduhan juga dikemukakan mengikut Seksyen 39 A(2) ADB 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Mereka juga dituduh dibawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12(3) Akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Bin Nik Azlan. Syed Adrin diwakili oleh Dato’ Geethan Ram Vincent bersama Cik. Lavinia Raja manakala Nurisah diwakili oleh En. Nik Mohamed Ikhwan.

Enam saksi telah dipanggil pihak Pendakwaan untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut.
CategoryMedia