SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas empat pertuduhan menerima suapan RM140,000 untuk melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh tanpa mengikut prosedur, Mei tahun lalu.

Tertuduh, Mastura Aziz, 49, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.


Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didakwa menerima suapan wang masing-masing berjumlah RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing.

Ia sebagai upah tertuduh yang ketika itu selaku Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) Terminal 1 melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh JIM.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah, sebuah stesen minyak dan Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Sepang antara 3 hingga 15 Mei tahun lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan. Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya tidak pernah gagal untuk hadir ke Pejabat SPRM, setiap kali dipanggil memberi keterangan.

Beliau berkata, tertuduh juga tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain bersedia dengan sebarang syarat yang dikenakan. Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari depan.

CategoryMedia