19 January 2026
Pegawai Imigresen, Mohamad Fadzli Abdul Rahim, 46 dan isterinya, Suhana Ismail, 45 ketika dibawa ke atas pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 JANUARI 2026
SHAH ALAM: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah atas 49 pertuduhan melepaskan kemasukan warga asing tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Fazli Abdul Rahim melakukan 42 kesalahan antara 24 Ogos 2023 hingga 21 Ogos 2024 disyaki menerima suapan RM500,100 daripada Sheikh Nurul Islam dan syarikat milik individu itu iaitu Selasih Solution Sdn Bhd.
Lelaki berusia 46 tahun itu juga berdepan tujuh pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih kurang RM278,6000 daripada akaun milik SB Simplify Interprise kepada beberapa individu di antara 2 Julai 2022 hingga 14 Mei 2024.
Hakim Mohd Nasir Nordin kemudian menetapkan ikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan itu.
Dalam pada itu, tertuduh juga berdepan empat lagi pertuduhan menerima suapan RM10,400 yang dibacakan berasingan di depan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas didakwa melepaskan kemasukan warga asing di antara 6 Ogos hingga 17 Ogos 2023. Bagi pertuduhan itu, lelaki itu dibenarkan ikat jamin dengan RM24,000.
Sementara itu, isterinya, Suhana Ismail, 44, yang juga pegawai JIM turut dituduh di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Haram apabila memindahkan RM125,850 di antara 12 Ogos 2023 hingga 27 Feb 2024. Terdahulu suami isteri itu diwakili oleh peguam, Mohamad Zahid Ahmad
Jaminan dibenarkan sebanyak RM40,000 dan Mahkamah menetapkan sebutan kes pasangan suami isteri itu pada 10 Mac depan. Seorang lagi pegawai imigresen, Mastura Aziz berdepan empat tuduhan menerima suapan RM140,000 melepaskan kemasukan seorang warga Bangladesh.
Mastura yang diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent dituduh melakukan kesalahan itu sekitar 3 hingga 15 Mei 2025.
Wanita itu dikat jamin sebanyak RM20,000 manakala sebutan ditetapkan pada 25 Februari ini.
Ketiga-tiga tertuduh diarah untuk melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebulan sekali menyerahkan passport antarabangsa dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. – MalaysiaGazette