Oleh Kasthuri Jeevendran – 21 January 2026
Perkarangan Mahkamah Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 JUN 2025.(GAMBAR FAIL)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan seorang chef daripada dua pertuduhan mengedar dadah dan satu pertuduhan memiliki dadah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Hakim Datuk Roszianayati memutuskan demikian pada akhir kes pendakwaan yang membebaskan tertuduh, A. Devaraj tanpa dipanggil membela diri.
Tertuduh sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan mengedar dadah, selain berdepan satu pertuduhan memiliki dadah di sebuah unit pangsapuri di Rumah Pangsa Taman Petaling Utama, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya 14 April 2022.
Kesemua pertuduhan itu memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam alasan penghakiman, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pengetahuan dan kawalan terhadap dadah yang dikaitkan dengan tertuduh.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan ketika memegang sebuah beg kertas yang didakwa mengandungi dadah sebelum dibawa ke sebuah unit pangsapuri di mana lebih banyak dadah kemudian ditemui.
Hakim mendapati keterangan saksi pendakwaan sendiri menunjukkan tertuduh hanya mempunyai pegangan sementara terhadap beg kertas berkenaan dan tidak mengetahui kandungannya.
Mahkamah turut mengambilkira keterangan saksi pendakwaan yang mengesahkan beg itu diserahkan kepada tertuduh oleh individu lain hanya beberapa ketika sebelum penahanannya sekali gus menafikan elemen pengetahuan.
Berhubung dadah yang ditemui di pangsapuri berkenaan mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai akses ke unit itu kerana tiada kunci ditemui pada tertuduh dan polis terpaksa memecahkan pintu untuk masuk.
Mahkamah juga mendapati individu lain dan bukannya tertuduh yang membawa polis ke pangsapuri berkenaan.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan Devaraj tidak mempunyai pengetahuan terhadap dadah yang ditemui dan membebaskannya daripada semua pertuduhan.
Hakim turut memutuskan keterangan yang dikemukakan tidak mencukupi untuk mewujudkan kaitan langsung antara tertuduh dan dadah yang dirampas.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Redzuan manakala tertuduh diwakili Datuk Geethan Ram Vincent dan Sangkari Sellathoray. – MalaysiaGazette