February 27, 2026 @ 11:10am
KUALA LUMPUR: Isu rasuah sering mengundang persoalan, khususnya apabila hanya penerima suapan didakwa di mahkamah, manakala pemberi rasuah dilihat seperti ‘terlepas’ hingga mewujudkan persepsi berat sebelah dan mencetuskan tanda tanya mengenai prinsip keadilan dalam sistem perundangan negara.
Ia susulan banyak kes rasuah mendapat perhatian masyarakat, terutama tindakan agresif dengan pertuduhan dikemuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai kanan kerajaan, yang turut menimbulkan keresahan awam.
Menjelaskan perkara itu, peguam yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Geethan Ram Vincent, berkata secara prinsipnya kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima rasuah adalah melakukan kesalahan jenayah.
Beliau berkata, mengikut Akta SPRM khususnya Seksyen 16, kedua-dua perbuatan memberi dan menerima suapan adalah satu kesalahan. Katanya, Seksyen 16(b) secara jelas memperuntukkan mana-mana individu memberi atau menawarkan suapan sebagai dorongan atau upah berkaitan sesuatu urusan rasmi boleh didakwa.
“Dari segi elemen kesalahan, asasnya sama, iaitu wujud pemberian atau penerimaan wang atau suapan dengan niat sebagai rasuah. “Bezanya hanyalah pada peranan, iaitu seorang memberi dan seorang menerima. Bagi penerima, elemen tambahan biasanya membabitkan kaitan dengan tugas atau tanggungjawab rasmi. “Secara prinsip, kedua-duanya sepatutnya didakwa, namun pendakwaan tidak semestinya dilakukan serentak,” katanya.
Berhubung persoalan sering diutarakan masyarakat, iaitu mengapa kadangkala hanya penerima rasuah sahaja berdepan pertuduhan, Geethan berkata, hakikatnya keputusan untuk mendakwa bergantung kepada fakta setiap kes.
Beliau berkata, terdapat keadaan pemberi rasuah melaporkan sendiri kepada SPRM selepas diminta suapan, memberi kerjasama dalam operasi perangkap (trap), bertindak kerana desakan atau paksaan dan menjadi saksi utama terhadap penerima. “Dalam situasi sebegini, pihak pendakwaan boleh memilih untuk tidak mendakwa pemberi atas dasar kepentingan awam dan strategi pendakwaan.
“Contoh kes berprofil tinggi menunjukkan pemberi suapan dijadikan saksi utama terhadap penerima, seperti kes membabitkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad; Datin Sri Rosmah Mansor dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. “Dalam kes tertentu, imuniti juga boleh diberikan sebagai pertukaran keterangan,” katanya.
Geethan berkata, dalam hal ini, keputusan mendakwa atau tidak seseorang itu terletak pada budi bicara pendakwa raya, melalui kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah. Beliau berkata, kuasa itu dianggap luas dan pada asasnya tidak boleh dipersoalkan mahkamah. Katanya, setakat ini, cabaran atas alasan ‘pendakwaan terpilih’ hampir tidak pernah berjaya dan mahkamah menilai kes berdasarkan fakta serta bukti terhadap tertuduh, bukan berdasarkan siapa tidak didakwa.
“Mahkamah hanya campur tangan jika ada penyalahgunaan proses mahkamah yang jelas, bukan semata-mata kerana persepsi ketidakseimbangan. “Sebelum membuat keputusan untuk mendakwa, pihak pendakwaan biasanya menilai pelbagai faktor, antaranya kecukupan dan kekuatan keterangan, kebolehpercayaan saksi, tahap kerjasama saksi, keraguan dalam siasatan, kepentingan awam dan kebarangkalian sabitan. “Di mahkamah, beban pembuktian terhadap pemberi dan penerima adalah sama, namun jika bukti terhadap pemberi lemah atau bergantung sepenuhnya kepada keterangannya sendiri sebagai saksi, keputusan tidak mendakwa mungkin diambil demi memastikan kes terhadap penerima berjaya dibuktikan,” katanya.
Timbulkan persepsi
Bagaimanapun, Geethan berkata, dari sudut keadilan, tindakan mendakwa hanya penerima rasuah boleh menimbulkan persepsi berat sebelah dan jika tidak ditangani, ia berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem perundangan. Beliau berkata, walaupun pihak pendakwaan tidak diwajibkan mendedahkan alasan mereka kepada umum, yang kadang kala membabitkan maklumat sensitif atau rahsia kerajaan, ketelusan tertentu boleh membantu memulihkan keyakinan rakyat.
“Ada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) wajar menjelaskan keputusan mereka sekurang-kurangnya kepada Parlimen apabila dipersoalkan, tanpa perlu mendedahkan butiran sensitif kepada umum. “Cadangan supaya undang-undang mewajibkan pendakwaan terhadap kedua-dua pihak secara mandatori dilihat kurang praktikal. Sistem keadilan jenayah memerlukan ruang budi bicara bagi menilai fakta unik setiap kes. “Namun, reformasi dari segi akauntabiliti seperti kewajipan menjawab kepada Parlimen boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan ketelusan tanpa menjejaskan strategi pendakwaan. “Akhirnya, prinsip asas keadilan bukan sekadar dilaksanakan, tetapi mesti dizahirkan secara nyata. Persepsi awam adalah komponen penting dalam memelihara kedaulatan undang-undang,” katanya.
Walaupun dari sudut perundangan keputusan tidak mendakwa pemberi rasuah mungkin sah dan berasaskan fakta, Geethan berkata, komunikasi lebih jelas dan akauntabiliti institusi boleh membantu mengurangkan salah faham serta mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan negara. Katanya, persoalan masyarakat bukan sekadar ‘siapa yang bersalah’, tetapi juga adakah keadilan benar-benar ditegakkan secara seimbang.