
Sunday, 21 April 2024 04:34PM MYT
Dato’ Geethan Ram Vincent (Kiri) bersama Zaid (Kanan)
Untuk berita terkini Sinar Harian, ikuti di Telegram dan TikTok kami
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan seorang lelaki bagi pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 3,503.37 gram pada April 2021 yang lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Yang Arif Puan Roszianayati binti Ahmad selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaid bin Amirdat, 43, di akhir kes pendakwaan.
Terdahulu, bapa kepada 5 orang anak itu telah ditahan di luar kediaman keluarga beliau di Kampung Melayu Batu Arang, Gombak, Selangor. Semasa ditahan, anak beliau baru sahaja 2 minggu dilahirkan. Beliau didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebutan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri bin Zakaria telah memanggil 5 saksi sepanjang perbicaraan bermula 22 Januari tahun ini. Zaid diwakili oleh Dato’ Geethan Ram dan Eu Kah Mun.