Mohd. Azhari bergambar bersama peguamnya Geethan Ram Vincent selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskannya daripada tuduhan mengedar 30 kilogram dadah. 13 MAC 2026

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang mekanik daripada pertuduhan mengedar lebih 30 kilogram methamphetamine selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, ketika membacakan penghakimannya, menyifatkan kes yang dibawa pihak pendakwaan mempunyai pelbagai percanggahan selain wujud beberapa jurang yang tidak dapat dijelaskan.

Menurut mahkamah, kelemahan tersebut menimbulkan keraguan serius terhadap kekuatan kes yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Tertuduh, Mohd Azhari, sebelum ini didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 30,593.9 gram pada awal pagi 3 Jun 2022.

Berdasarkan keterangan pihak polis, tertuduh ditahan selepas dikejar ketika memandu di Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), sebelum didakwa membawa anggota polis ke sebuah lagi kenderaan yang diparkir di Kampung Medan, di mana bahan terlarang itu ditemukan.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati, wujud keraguan serius berhubung identiti barang kes apabila nombor rujukan makmal pada Borang Pendaftaran Eksibit tidak sepadan dengan nombor yang dinyatakan dalam laporan ahli kimia.

Selain itu, mahkamah turut menimbulkan persoalan mengenai rantaian penjagaan barang kes apabila wujud percanggahan keterangan antara penjaga stor dan pegawai penyiasat.

Penjaga stor memberi keterangan bahawa bahan berkenaan berada dalam simpanannya, manakala pegawai penyiasat pula mendakwa barang kes itu berada di bawah jagaan peribadinya sepanjang tempoh siasatan.

Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pemilikan sebenar terhadap kenderaan yang mengandungi dadah tersebut, memandangkan tiada kunci kenderaan ditemukan pada tertuduh ketika ditahan.

Hakim turut menegur kegagalan pihak pendakwaan memanggil beberapa saksi penting termasuk seorang individu lain yang ditahan bersama tertuduh serta seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai `Mat’.

Susulan kelemahan ketara dalam kes tersebut, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi dipanggil memberi keterangan termasuk pemilik kenderaan dan seorang ahli kimia.

Tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Maalinni Manimaran, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan. – MalaysiaGazette

CategoryMedia