Monday, 29 December 2025

Najib boleh mohon pengampunan Agong sementara tunggu rayuan
Datuk Seri Najib Razak. – Foto fail Reuters (File pic)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, boleh memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terhadap keputusan mahkamah berkait kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sementara menunggu proses rayuan.

Bekas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Geethan Ram Vincent, berkata tiada halangan dari segi undang-undang bagi Najib yang sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi bagi kes 1MDB, untuk memohon pengampunan daripada YDPA.

Beliau bagaimanapun berkata, walaupun secara undang-undang tiada halangan untuk memohon pengampunan ketika rayuan masih berjalan, amalan lazimnya menunjukkan proses pengampunan biasanya dipertimbangkan selepas semua saluran kehakiman dimuktamadkan. Katanya, amalan itu biasanya dilakukan bagi mengelakkan pertindihan antara kuasa kehakiman dan kuasa prerogatif.

“Bagi kes ini, proses selanjutnya ialah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Setelah rayuan ini didengar dan diputuskan, pihak perayu boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan.

“Keseluruhan proses ini dijangka mengambil tempoh kira-kira dua hingga tiga tahun dan sementara menunggu pendengaran rayuan, tiada halangan undang-undang untuk DSN memohon pengampunan daripada YDPA,” katanya kepada BH, di sini.

Jumaat lalu, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan, dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas mahkamah mendapati bekas Presiden UMNO itu bersalah terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. Susulan itu, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu, hari ini.

Vincent berkata, walaupun proses rayuan dan pengampunan daripada YDPA boleh berjalan seiring dan ia sah dari segi undang-undang, namun berisiko menimbulkan perdebatan dari sudut praktikal dan persepsi awam. Katanya, sebarang pengampunan diberikan sebelum proses rayuan selesai berpotensi menimbulkan perdebatan Perlembagaan dan keyakinan terhadap institusi kehakiman.

Katanya, proses rayuan di Mahkamah Rayuan kelak membabitkan pelbagai isu undang-undang dan fakta dengan pihak perayu akan berhujah bahawa terdapat kekhilafan oleh Hakim Bicara dalam membuat dapatan fakta dan keputusan. “Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan akan meneliti serta menganalisis dapatan terbabit bagi menentukan sama ada wujud ‘kesilapan yang boleh dirayu’ yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan. “Mahkamah Rayuan secara prinsipnya tidak akan sewenang-wenangnya mencampuri dapatan fakta Hakim Bicara, terutama jika dapatan itu dibuat berdasarkan penilaian kredibiliti saksi. “Campur tangan hanya akan berlaku jika dapatan itu jelas tersasar, tidak disokong keterangan, atau bercanggah dengan prinsip undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Najib memperoleh pengampunan penuh bagi kes 1MDB, beliau masih tidak boleh dibebaskan kerana perlu meneruskan baki hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd (SRC). “Justeru, satu-satunya cara untuk Najib dibebaskan dalam masa terdekat ialah sekiranya YDPA memberikan pengampunan penuh bagi kedua-dua kes, iaitu 1MDB dan SRC.

Sementara itu, peguambela dan peguamcara kanan, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata pihaknya melihat Najib berdepan laluan sukar dalam proses membawa kes 1MDB ke Mahkamah Rayuan kerana pihak pendakwaan dan Najib sendiri tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan. Shamsuddin berkata, walaupun sistem membenarkan untuk Najib membawa kes ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun pihaknya melihat peluang adalah tipis. Katanya, Najib dijangka berdepan proses panjang kerana pembelaannya di Mahkamah Tinggi tidak berjaya menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah, khususnya dalam membuktikan kewujudan derma daripada Arab.

Berdasarkan alasan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah di akhir kes pendakwaan sebelum ini, beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan prima facie, dengan segala bukti yang tidak memihak kepada Najib. “Malah, daripada 50 saksi yang ditampilkan di mahkamah, sudah ada keterangan derma daripada Arab itu palsu. Mahkamah juga sudah membuat dapatan dan menerangkan mengenai ‘hearsay’ dakwaan Shafee itu dan ada peruntukan undang-undang yang keterangan sebegitu boleh diterima. “Namun rayuan boleh difailkan dan perlu juga membuat permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terutamanya mengenai denda,” katanya.

CategoryMedia